Dalam Kesendirian Yang Indah |
Dalam melayari hari-hari kelabu ni..rasa amat daif dan lemah diri, dalam pencarian yang masih teraba-raba dalam celik nuraniku berbisik mengatakan sesuatu..Menjerit dan meraung meminta di lepaskan fitrah semulajadi tentang betapa ilmu itu perlu di kongsikan dan perlu disebarkan, agar dengan berbuat demikian lunas juga beban dosa yang ku sedari atau yang tersembunyi..
Mari kita ladani kesah-kesah duka yang penuh tragis tentang kehidupan kita ssebagai insan..
Saya petik daripada buku '101 Kisah & Pengajaran daripada al-Quran, al- Hadis, & Hayatus Sahabah' karangan Ustaz Zahazan Mohamed.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: Pada zaman Bani Israel dahulu, hidup dua orang lelaki yang mempunyai sikap yang berbeza. Lelaki yang pertama seorang 'asiy dan suka berbuat dosa, sementara yang kedua rajin beribadah.
Setiap kali orang yang ahli ibadah ini melihat temannya berbuat dosa, ia menyarankan rakannya untuk berhenti daripada melakukan perbuatan-perbuatan dosanya.
Biarlah Allah yang menilai dosa-dosaku!
Suatu hari orang yang ahli ibadah berkata lagi : "Berhentilah daripada berbuat dosa!"
Lelaki itu menjawab :"Jangan pedulikan aku, terserahlah Allah akan menilai perbuatanku. Adakah engkau diutuskan Allah untuk mengawasi apa yang aku lakukan?"
Lelaki ahli ibadah itu lalu membalas : "Demi Allah, dosa kamu tidak akan diampuni oleh-Nya atau kamu tidak akan dimasukkan ke dalam syurga Allah s.w.t."
Kamu lebih Tahu?
Kemudian setelah kedua-dua orang itu mati, Allah s.w.t telah menghakimi kedua-dua mereka dihadapan-Nya. Allah s.w.t menyoal lelaki ahli ibadah, : "Adakah kamu lebih mengetahui daripada-Ku? Atau adakah kamu dapat mengetahui apa yang berada di dalam kekuasaan-Ku?"
Kemudian kepada ahli maksiat Allah berfirman,: "Masuklah kamu ke dalam syurga berkat rahmat-Ku".
Sementara kepada ahli ibadah dikatakan,: " Masukkan orang ini ke dalam Neraka".(1)
Siapa kita?
Lalu mari kita bertanya kepada diri kita, siapakah kita untuk menghukum? Sungguh, kita hanyalah bertanggungjawab mengajak kepada kebaikan serta mencegah kemungkaran, namun sekali-kali tidak diberikan autoriti untuk menghukum hamba Allah yang lain.
Lihat saja Firaun itu maha dahsyat kejahatannya, namun Allah telah memerintahkan Nabi Musa a.s menyampaikan kalimah-Nya dengan perkataan yang baik. Apatah lagi kepada ahli maksiat yang tetap mengakui tuhannya itu hanyalah Allah, walaupun dia terus beriltizam dengan maksiatnya.
Saya bukanlah nak mengajak, ataupun memberi hujah kepada rakan-rakan sekalian untuk menjadi 'asiy. Jauh sekali, bahkan kita mohon berlindung dengan Allah daripada termasuk dalam golongan tersebut. Ambillah kisah ini sebagai satu pencerahan, supaya kita memahami dan menyedari kedudukan kita yang hakikatnya tak pernah pun lebih 'suci' berbanding orang-orang lain disekeliling kita.
Mereka mungkin kelihatan tak segak, kadang-kadang terlalai dengan maksiat, tetapi siapa tahu mereka merupakan ahli syurga disisi Allah. Manakala kita yang duk berdentum-dentum ber'amar ma'ruf nahi munkar ini, pada hakikatnya diam-diam sering melakukan maksiat 'dibelakang' Allah s.w.t.
Wahai diriku yang bakal menyesal dihari yang penuh dengan penyesalan, serta buat saudara-saudaraku, takutlah kepada azab neraka Allah, yang sangat keras lagi pedih seksanya.
Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun, dan sangat luas rahmat-Nya.
Wallahu A'lam.
-Hamba penuh dosa, berharap pada keampunan-Nya-
No comments:
Post a Comment